Tuesday, October 3, 2006

Renungan Di pagi Indah Ini - Restu Ibubapa adalah Restu Allah swt

PENGALAMAN SEBAGAI RENUNGAN>>>>

Terima kasih sudi kongsi cerita ni. semoga kita dan mereka yang kita
kenali tidak tergolong dlm kategori anak anak yang hidup kaya & glamour
tapi menghambakan ibubapa sendiri. Tapi apa boleh kita buat sekiranya
kita berhadapan dengan situasi begini depan mata?

Ibu bapa dilayan macam pembantu rumah
IBU dan bapa wajib kita hormati dan taat. Memperkecil, melawan atau
mengherdik kedua-duanya dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada
ibu bapa adalah satu dosa besar dan anak yang berbuat demikian tidak akan
mencium bau syurga, meskipun mereka banyak beribadat kepada Allah.
Allah tidak akan menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa.
Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah
tunai semasa di dunia lagi.

Namun masih ada yang tidak mengutamakan ibu bapa dalam kehidupan
seharian malah mengambil kesempatan untuk menggunakan ibu bapa bagi
memudahkan
tanggungjawab mereka di rumah.
Namun apa yang ingin saya kaitkan minggu ini adalah mengenai sikap satu
keluarga yang mengambil kesempatan terhadap orang tua mereka untuk
kesenangan sendiri.
Kejadian ini berlaku di hadapan mata saya semasa mengunjungi sebuah
pusat pelancongan di selatan tanah air. Di tempat letak kereta, saya
terpandang sepasang suami isteri warga emas dan seorang wanita warga asing
sedang
mengangkut beg pakaian dan beg plastik pelbagai jenis.
Lama saya perhatikan kedua-dua mereka sejak dari dalam lif sehingga ke
parkir. Dua tiga kali mereka naik turun lif mengangkut barang-barang.
Kemudian mengisinya ke dalam sebuah kereta yang diletakkan di parkir
hotel.
Setelah hampir setengah jam memerhati dan kebetulan kereta saya juga
terletak berhampiran tempat itu, saya memberanikan diri menyapa
kedua-duanya setelah senyuman saya dibalas.
"Banyak barang mak cik? Siapa punya?" tanya saya.
"Anak-anak cucu... mereka kat atas belum turun. Tengah siap agaknya?"
jawab si isteri yang saya panggil mak cik. Wanita itu berusia lewat 50-an.
"Kenapa mereka tidak tolong angkat?" saya mencungkil rahsia.
"Anak cucu mak cik baru balik daripada berenang, anak menantu pula
tengah siap-siap. Kejap lagi turunlah. Memang kalau berjalan kami yang buat
semua kerja ini," tambahnya sambil tersenyum.

Saya merenung wajah perempuan tua itu. Tergambar rasa penat dan letih
tetapi digagahnya juga untuk menyusun barang-barang tersebut ke dalam
bonet. Saya kemudian memandang suaminya yang leka membetulkan mana yang
tidak kena di dalam bonet. Sementara pembantu rumahnya pula mengikat
beg-beg plastik yang hampir terburai supaya kemas. Saya perhatikan
kebanyakan plastik berisi pakaian basah dan makanan.
Menyedari pandangan saya tertumpu kepada barang-barang tersebut,
suaminya tiba-tiba mencelah, "Ini semua pakaian basah anak cucu lepas
mandi...
nak bawa balik basuh. Ini pula makanan yang lebih... pun nak bawa balik,
boleh juga makan tidak membazir."
"Kesian mak cik... selalu bercuti dengan mereka?" saya menambah.
"Selalu. Mereka suka pergi bercuti. Selalunya mak cik dan pak cik akan
dibawa, bibik pun sama. Boleh juga tolong-tolong mereka. Ini ha, kereta
ini mereka yang belikan supaya kami senang bergerak. Kereta anak makcik
itu ha," katanya sambil dia dengan bangganya menunjukkan ke arah sebuah
van mewah yang saya rasa boleh menampung tujuh orang.
Berkemas
Dalam pada berbual-bual itu tiba-tiba tiga kanak-kanak berlari-lari ke
arah mereka.
Saya tergamam. Dari jauh salah seorang daripada mereka - mungkin yang
sulung - menjerit bertanyakan neneknya sama ada sudah siap berkemas
atau belum.
"Lambat la nenek ini, nanti papa dan mama marah. Kalau tak siap macam
mana nak telefon papa dan mama suruh turun," katanya dengan muka marah
sambil mendail telefon bimbit di tangannya.
Saya perhatikan budak itu. Dalam seketika darah saya menyirap.
Bayangkan seorang budak berkata demikian kepada neneknya. Sebak saya
melihat
mak
cik itu dan suaminya serta pembantu rumah yang bergegas menyusun barang ke
dalam bonet sebelum 'mem besar' yang disebut sebagai 'mama' itu turun.
Agaknya mereka takut kena marah. Saya mengurut dada apabila melihat
budak itu 'memerintah' atuk dan neneknya serta bibik itu dengan suara
lantang
sambil adik-adiknya ketawa gembira.
Hati saya meronta-ronta, mulut pula nyaris-nyaris bersuara tapi saya
kawal perasaan kerana memikirkan mereka bukan darah daging saya. Ikut hati
hendak ditegur juga,
tapi akhirnya tidak jadi.
Setelah bersalam dengan kedua-dua mereka dan bibik itu, saya meminta
diri dengan alasan hendak bertolak balik. Tapi saya menunggu di dalam
kereta
kerana teringin sangat hendak tengok wajah anak dan menantu mak cik
tersebut.
Sepuluh minit kemudian saya melihat seorang wanita dan lelaki penuh
gaya keluar dari lif. Yang perempuannya berseluar jean sendat dan kemeja-T
yang juga sendat. Lelakinya pula hanya berseluar pendek dan kemeja-T.
Kedua-duanya mengenakan cermin mata gelap. Sebaik melihat budak-budak
yang mengelilingi mak cik dan pak cik tadi memekik nama mereka, saya pasti
itulah anak menantu kedua-dua orang tua itu.
Si isteri yang tentunya anak pasangan tersebut sambil bercekak pinggang
meninjau bonet kereta yang sarat dengan barang-barang mereka. Tangannya
sekejap ke atas sekejap ke bawah, mungkin tidak puas hati dengan
susunan barang-barang. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pembantu
rumah
mereka hendak duduk di tempat duduk belakang itu.
Setelah berkata sesuatu kepada kedua-dua orang tua itu dengan wajah
marah, dia bergegas ke dalam van kerana suaminya sudah menghidupkan enjin.
Saya melihat pak cik dan mak cik itu serta pembantu rumahnya
terkial-kial masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Mereka kemudian
mengekori
van mewah itu meninggalkan kawasan hotel.
Saya terkedu seketika. Macam tidak percaya saya dengan apa yang saya
lihat. Tapi itulah realitinya. Saya membiarkan anda semua menilai dan
memberikan jawapannya.
Dalam sedih bercampur sebak saya bercerita pada anak-anak yang asyik
bertanya kenapa saya sibuk sangat melayan orang tua itu. Saya harap
anak-anak faham apa yang saya maksudkan dalam jawapan saya kepada
mereka.
Lalu teringat juga saya kepada orang tua di kampung. Syukur dengan
nikmat yang Allah berikan setakat ini, mudah-mudahan akan berkekalan sampai
ke
akhir hayat.
Apa yang saya paparkan bukan niat menyinggung sesiapa tetapi untuk
iktibar dan teladan kepada kita yang mungkin dan alpa dengan jasa dan
pengorbanan orang tua. Ingatlah perbuatan kita kepada ibu bapa akan menjadi
contoh
kepada anak-anak. Mereka melihat apa yang kita buat.
Jika kita mentaati kedua-dua ibu bapa, insya-Allah anak-anak kita akan
taat kepada kita. Demikianlah sebaliknya.
Sambil mengingatkan diri saya dan juga anda semua, saya catatkan
pesanan Nabi s.a.w buat renungan bersama: "Khabarkanlah berita gembira ini
kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa. Buatlah apa sahaja
bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk
kepada
mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang
disukai bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikit
pun kepadanya. Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibu bapa tidak
akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk
syurga.

Ma'asalamah...

No comments: